Foto sekadar hiasan
Masalah kesihatan mental seperti keresahan, kemurungan, konflik keluarga dan pengalaman dibuli dikenal pasti sebagai antara punca utama peningkatan kes ketidakhadiran ke sekolah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Permai Johor Bahru, Dr. Nor Rahidah Abd Rahim, isu ini sering disalah tafsir oleh masyarakat yang menganggap pelajar sekadar tidak mahu ke sekolah, sedangkan hakikatnya mereka berdepan dengan masalah psikologi yang memerlukan perhatian dan rawatan klinikal.
“Kanak-kanak tidak mahu ke sekolah tanpa sebab. Apabila diselidiki, sering kali didapati mereka mengalami keresahan sosial, serangan panik, kesukaran dalam pembelajaran atau trauma,” katanya semasa Persidangan Psikiatri dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (M-CHAMP) 2025 yang berlangsung di Ipoh, Perak.
Dr. Nor Rahidah menambah bahawa faktor-faktor seperti keresahan dalam kalangan kanak-kanak, pengaruh rakan sebaya termasuk buli, serta cabaran akademik menjadi lebih ketara sejak pandemik COVID-19.
“Selepas pandemik, ramai pelajar bergelut untuk menyesuaikan diri dengan rutin persekolahan. Ada yang berasa terbeban dengan persekitaran sosial yang tidak mereka hadapi selama dua tahun. Pembelajaran dalam talian juga menyebabkan kebergantungan kepada skrin dan sikap menghindar,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa ketidakhadiran ke sekolah sering disalah anggap sebagai ponteng atau salah laku, menyebabkan kelewatan dalam usaha intervensi dan masalah menjadi semakin serius.
“Ibu bapa dan guru mungkin menganggap anak malas atau ingkar. Tetapi apabila seorang kanak-kanak menangis, mengadu sakit kepala atau merayu tidak mahu ke sekolah, itu adalah isyarat bahawa mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Dr. Nor Rahidah menyeru agar kerjasama antara pihak sekolah, keluarga dan penyedia penjagaan kesihatan diperkuatkan, selain perlunya sokongan dan usaha pengesanan di peringkat awal.
“Guru perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda amaran. Sekolah juga perlu mempunyai sistem atau prosedur yang mudah untuk merujuk kepada profesional kesihatan mental,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama berdepan risiko serius, termasuk kemerosotan akademik, pengasingan sosial dan gejala kesihatan mental yang semakin teruk, yang dalam sesetengah kes memerlukan rawatan di hospital.
Hospital Permai, salah satu hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri khusus untuk kanak-kanak dan remaja, semakin banyak menerima kes rujukan bagi masalah ketidakhadiran ke sekolah, mencerminkan keperluan mendesak untuk pendekatan sokongan serta bantuan yang terancang dan menyeluruh.
“Masalah tidak datang ke sekolah ialah satu wabak senyap. Kita perlu bertindak sekarang dengan mengambil pendekatan yang empati dan bersepadu,” tegas Dr. Nor Rahidah semasa pembentangan bertajuk "Unpacking School Refusal: Understanding Its Roots and Psychological Underpinnings".
Persidangan selama tiga hari bertemakan "Bloom: Enhancing Child and Adolescent Wellbeing" yang berakhir hari ini, menghimpunkan pakar dari seluruh negara untuk berkongsi amalan terbaik dan strategi bagi intervensi awal serta sokongan berasaskan komuniti.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.