
Foto: Bernama
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa agar semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat menilai semula keberkesanan pendidikan sahsiah, sistem bimbingan serta kaunseling di sekolah.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata gesaan itu dibuat susulan insiden rogol yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Melaka baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai satu tragedi menyedihkan dan membimbangkan.
Menurutnya, kes tersebut mencerminkan kegagalan dalam penerapan nilai kemanusiaan, kesopanan dan kesusilaan dalam kalangan pelajar.
“Pendidikan keibubapaan dan kekeluargaan juga amat penting. Punca sahsiah murid yang lemah sering berpunca daripada kegagalan pendidikan ibu bapa.
“NUTP berpandangan pendidikan sahsiah tidak boleh dipikul oleh sekolah semata-mata. Nilai moral dan etika mesti dibentuk seawal di rumah, manakala sekolah berperanan memperkukuh dan membimbing,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau menambah, sudah tiba masanya pendidikan sahsiah dan disiplin di sekolah dinilai semula agar lebih relevan dengan cabaran sosial semasa.
Dalam masa sama, Fouzi menekankan keperluan memperkasa peranan guru bimbingan dan kaunseling supaya pelajar dapat menjalani sesi kaunseling serta program pembangunan sahsiah dan remaja secara lebih menyeluruh.
“Sistem sokongan seperti intervensi awal serta kerjasama dengan agensi kebajikan dan psikologi perlu digerakkan secara sistematik.
“NUTP menegaskan bahawa pencegahan awal melalui pendidikan nilai, empati dan pengukuhan sahsiah mesti menjadi agenda utama sistem pendidikan kita. Ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi cerminan moral dan kesejahteraan sosial generasi muda,” ujarnya.
Sabtu lalu, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan direman enam hari kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Alor Gajah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu di dalam sebuah kelas ketika mangsa berpatah balik untuk mengambil bahan projek sains yang tertinggal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.