Foto: TikTok
Seorang pekerja warga Indonesia, Zain, yang menetap di Malaysia, meluahkan rasa hairannya apabila mendapati tradisi rumah terbuka Aidilfitri di Malaysia berlangsung lebih dari sebulan, bahkan ada yang diadakan sehingga bulan Zulkaedah.
Menerusi satu video di TikTok (@azainudin21), Zain bertanya mengapa masyarakat Malaysia tidak menyelesaikan semua majlis rumah terbuka dalam minggu pertama Syawal, seperti yang lazimnya dilakukan di negara lain.
“Ada sebab tertentu ke? Adakah ia budaya yang dinormalisasikan atau perkara yang perlu dilakukan?”
Reaksi daripada netizen Malaysia menunjukkan bahawa budaya rumah terbuka yang berpanjangan ini sudah menjadi kebiasaan.
Ramai yang menjelaskan bahawa minggu pertama Syawal biasanya diperuntukkan untuk keluarga terdekat, minggu kedua untuk saudara-mara, minggu ketiga untuk rakan-rakan, dan minggu keempat untuk majlis bersama organisasi atau syarikat.
Selain itu, budaya memberi makan dan bersedekah sangat dititikberatkan dalam masyarakat Malaysia.
“Orang Malaysia suka makan dan memberi makan (bersedekah). Bulan puasa pun dah buat makan-makan seperti majlis berbuka puasa. Sampai la ke raya haji,” ujar salah seorang pengguna TikTok.
Walaupun tidak diwajibkan dalam syariat Islam, amalan rumah terbuka ini dianggap selari dengan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan pemberian makanan, menyebarkan salam, dan mempererat hubungan sesama Muslim.
Budaya ini turut dibawa oleh pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara, seperti di Washington D.C., Amerika Syarikat, di mana mereka menganjurkan rumah terbuka dengan hidangan tradisional seperti nasi impit, kuah kacang, dan rendang.
Fenomena ini mencerminkan semangat kekeluargaan dan sifat pemurah masyarakat Malaysia, yang menjadikan Aidilfitri bukan sekadar perayaan dua hari, tetapi satu bulan penuh dengan aktiviti silaturahim dan perkongsian rezeki.
Sumber: TikTok
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.