
Foto sekadar hiasan
Tiga pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 16 tahun mengalami kecederaan serius, termasuk melecur dan putus jari, selepas bermain mercun yang diubah suai di dalam asrama sebuah sekolah di Jeli, petang tadi.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku sekitar jam 4.40 petang, di mana ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan segera.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata siasatan awal mendapati mangsa-mangsa sedang mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam botol bersama batu kerikil untuk dijadikan mercun.
"Akibat daripada tindakan tersebut, kesemua mangsa mengalami kecederaan serius dan melecur di beberapa bahagian badan. Seorang daripada mangsa yang berusia 16 tahun mengalami kecederaan teruk apabila jari tangan kiri terputus," katanya dalam satu kenyataan media.
Kesemua mangsa kini menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Jeli. Pihak berkuasa turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan memantau aktiviti anak-anak, terutamanya ketika menyambut perayaan, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.