Pakar-pakar kesihatan menegaskan pengambilan vitamin C secara berlebihan sebagai langkah untuk mencegah jangkitan COVID-19 hanyalah satu mitos dan akan memudaratkan kesihatan sekiranya diambil terlalu banyak.
Setakat ini, tidak ada bukti saintifik bahawa pengambilan suplemen vitamin C secara oral akan membantu merawat atau mencegah COVID-19, kata Timbalan Presiden Persatuan Medical Mythbusters Malaysia, Mohd Dziehan Mustapa.
“Setakat hari ini, tidak ada penawar untuk COVID-19 di mana langkah pencegahan terbaik hanyalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga kebersihan.
“Untuk mendapatkan keperluan vitamin C yang cukup, pastikan anda memakan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Mikronutrien seperti vitamin D dan C dan zink memainkan peranan penting untuk kesihatan imun tubuh,” katanya.
Mohd Dziehan yang juga ahli farmasi berpengalaman selama 17 tahun turut berkata, pengambilan dos maksimum vitamin C dalam sehari yang dinyatakan selamat adalah tidak melebihi 2,000 miligram (mg).
“Sebenarnya dos sebanyak 200mg sudah mencukupi. Saranan pengambilan Nutrients-Malaysia (RNI) dalam kalangan individu dewasa untuk vitamin C adalah 70mg/sehari sahaja. Keperluan sebanyak ini (200mg) juga boleh diperoleh melalui sumber sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Serapan tubuh jika vitamin C diambil secara oral adalah sekitar 69 peratus manakala dos melebihi 1,000mg sehari pula adalah tinggi dan boleh menyebabkan seseorang itu alami kesan sampingan,” katanya.
Pengambilan Dos Vitamin C
Berapa banyak dos vitamin C diperlukan sehari: 200mg sudah mencukupi
Berapa dos maksimum vitamin C untuk sehari: Tidak melebih 2,000mg
Pengambilan vitamin C secara berlebihan akan menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut dan cirit-birit. Had maksimum yang mampu ditanggung (tolerable) oleh perut kita, selebihnya akan menyebabkan toksik.
Saranan ini bagi orang dewasa.
Antara kebaikan vitamin C
1. Meningkatkan penyerapan zat besi
Bagi pesakit yang memerlukan suplemen kesihatan zat besi (contohnya: wanita hamil), ia adalah disyorkan bahawa suplemen kesihatan zat besi diambil bersama-sama dengan vitamin C.
2. Pengambilan vitamin C secara tetap boleh mengurangkan tempoh dan keterukan selesema
3. Mengurangkan risiko mendapat kanser. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko mendapat kanser tetapi vitamin C daripada suplemen kesihatan tidak membawa manfaat ini.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.