Foto sekadar hiasan
Stimming atau tingkah laku rangsangan diri sering dikaitkan dengan individu yang berada dalam spektrum autisme, namun pakar menjelaskan bahawa ia sebenarnya pernah dilakukan oleh hampir semua orang.
Stimming merujuk kepada pergerakan, bunyi atau aksi berulang yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak, antaranya menggigit kuku, bermain dengan rambut, menggoyang kaki, menghayun badan, menjengketkan kerusi, mahupun bercakap berulang kali. Menurut Pusat Terapi Nurani Insan, tingkah laku ini juga biasa dilakukan oleh individu bukan autistik.
Perbezaan Stimming Biasa dan Autisme
Berdasarkan portal kesihatan Healthline, stimming biasanya tidak menimbulkan masalah, namun ia menjadi isu apabila mengganggu pembelajaran, menyebabkan pengecualian sosial atau mendatangkan bahaya.
Bagi individu autistik, stimming berlaku dengan lebih kerap dan dalam bentuk yang lebih ekstrem, misalnya mengunyah pakaian sehingga koyak atau menghantukkan kepala dengan kuat. Ia juga boleh dilakukan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, termasuk di tempat awam atau situasi berbahaya. Faktor utamanya adalah sensory overload (sensori berlebihan) dan kesukaran untuk menghentikan tingkah laku tersebut.
Fungsi Stimming
Pakar menjelaskan bahawa stimming berfungsi sebagai mekanisme kawalan diri (self-regulation) ketika individu berdepan rangsangan atau tekanan emosi berlebihan seperti gembira, sedih, takut, marah atau bosan. Antara tujuan stimming termasuk:
- Merangsang deria atau mengurangkan sensori berlebihan.
- Menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
- Mengurangkan kegelisahan dan menenangkan diri.
- Menunjukkan kekecewaan, terutama bagi mereka yang sukar berkomunikasi.
- Mengelakkan situasi atau aktiviti tertentu.
Dalam sesetengah kes, stimming juga boleh mengurangkan rasa sakit atau ketidakselesaan. Namun, penting untuk memastikan tingkah laku tersebut bukan disebabkan oleh masalah kesihatan lain seperti sawan.
Tidak Wajar Dihentikan Sepenuhnya
Kajian mendapati individu autistik yang dibenarkan untuk stimming berada dalam keadaan lebih fokus, tenang dan produktif. Justeru, pakar menasihatkan agar tingkah laku ini tidak dihentikan sepenuhnya, kecuali jika ia berisiko mendatangkan kecederaan.
Antara pendekatan yang disyorkan ialah menggantikan stimming berbahaya dengan pilihan yang selamat seperti menggunakan chew tags, permainan squishy, atau aktiviti alternatif lain. Sokongan ahli keluarga, penglibatan ahli terapi pekerjaan, guru dan profesional perubatan juga penting untuk memahami sebab stimming dilakukan dan bagaimana menguruskannya dengan berkesan.
“Beri mereka sokongan, bukan memaksa mereka berperilaku ‘normal’ kerana ini sebahagian daripada identiti mereka,” kata Pusat Terapi Nurani Insan.
Sumber: Vocket
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.