Foto: Thaiger
Misteri kehilangan seorang lelaki selama lebih dua tahun akhirnya terjawab apabila sebuah kereta sedan yang tenggelam ditemui dalam terusan pengairan di daerah Tha Muang pada hari Ahad.
Di dalam kereta itu, pihak polis menemui rangka manusia yang dipercayai milik lelaki yang dilaporkan hilang tersebut.
Menurut laporan media tempatan, penemuan berlaku sekitar jam 9.30 pagi setelah pihak berkuasa menurunkan paras air terusan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan.
Anggota Balai Polis Tha Muang segera dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kenderaan yang tenggelam.
Kereta tersebut dikenalpasti sebagai Toyota Vios berwarna gangsa. Pemeriksaan awal menunjukkan cermin hadapan kereta pecah dan seluruh kenderaan ditumbuhi alga tebal, menandakan ia telah lama berada di dalam air. Setelah kereta berjaya dinaikkan, polis menemui rangka manusia di tempat duduk pemandu.
Foto: Thaiger
Berdasarkan nombor pendaftaran, kenderaan itu milik Pattanasak Kanchanachokchai, 61, dan rangka tersebut dipercayai miliknya.
Polis menghantar rangka itu ke hospital untuk proses bedah siasat dan ujian DNA bagi mengesahkan identiti serta menentukan punca kematian. Setelah selesai, mayat akan diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.
Pattanasak dilaporkan hilang oleh isterinya pada tahun 2023. Menurut wanita itu, suaminya keluar dari rumah pada 13 Ogos 2023 sekitar jam 9 pagi dan tidak kembali. Usaha mencari telah dilakukan sejak hari itu, tetapi tiada petunjuk ditemui.
Anak saudara Pattanasak, Wanpiya Kun-eung, 49, berkata lelaki itu sebelum ini bekerja bersamanya di sebuah bengkel. Beberapa hari sebelum menghilang, Pattanasak menghubunginya untuk meminta gaji pendahuluan, yang kemudian dipindahkan sekitar jam 5 petang. Namun kira-kira jam 9 malam, Wanpiya diberitahu oleh isteri Pattanasak bahawa lelaki itu telah hilang.
Isteri mangsa menambah bahawa Pattanasak sebelum ini memiliki sebuah bengkel sendiri, tetapi terpaksa menutup perniagaan akibat kesan pandemik Covid-19. Penemuan rangka ini akhirnya memberikan jawapan kepada misteri yang menghantui keluarga dan komuniti tempatan selama lebih dua tahun.
Sumber: Thaiger
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.