Bekalan 400 unit cecair pembasmi kuman yang tiba di sebuah farmasi di Kuala Terengganu telah habis terjual dalam tempoh lima jam sahaja.
Penjaga Stok Farmasi Gpharmax Pasir Panjang, Nurul Izni Abdulllah berkata bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman di kebanyakkan farmasi di Terengganu masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan.
"Kami tempah dalam 1,000 cecair pembasmi kuman namun yang sampai hanya 400 unit mengandungi 70 mililiter (ml).
"Dalam pagi sampai stok, tak sampai petang dah habis. Itu pun kami hadkan pembelian tidak melebihi dua unit untuk seorang pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut beliau lagi, cecair pembasmi kuman di farmasi itu dipesan dari 10 buah syarikat pembekal, namun hanya dua syarikat yang menghantar bekalan, menyebabkan mereka tidak boleh menjangka bila stok baru akan tiba.
"Ramai pelanggan datang ke sini selepas barangan yang dicari (topeng muka, 'hand sanitizer') tiada di farmasi lain.
"Dari situ kita dapat tahu situasi sama turut dialami farmasi lain. Macam topeng muka tak banyak syarikat pembekal yang ada dan syarikat biasa yang kita order pun tidak sampai.
"Jadi kita harap semua pelanggan dapat bersabar dengan situasi ini. Mungkin akan sampai juga stok ini namun tidak dapat dipastikan bila," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.