Menurut Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ekoran daripada penerimaan banyak laporan orang ramai bersesak di kawasan premis. anggota polis dan tentera akan ditempatkan di pasar raya bagi memantau pergerakan orang ramai.
“Nasihat supaya menjarakkan diri satu meter tidak dilakukan. Mereka bersesak-sesak. Jadi, kita sudah setuju, polis dan tentera akan ditempatkan di pasar raya, dan dibantu pihak berkuasa tempatan.
“Mungkin mereka akan membantu untuk memberikan giliran kepada orang ramai memasuki pasar raya dan sebagainya,” katanya pada satu sidang media.
Seramai 50,000 anggota terdiri daripada tentera, polis, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga pihak berkuasa tempatan kini telah digerakkan untuk membantu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tambahnya lagi, walaupun 90 peratus rakyat sudah mematuhi arahan, namun baki 10 peratus yang melibatkan kira-kira 3 juta rakyat Malaysia masih lagi berdegil dan ingkar dengan arahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang telah dikeluarkan.
Selain di kawasan pasar raya, tentera dan polis akan bersama melaksanakan sekatan jalan raya, rondaan dan juga hebahan di kawasan berisiko dan berpopulasi tinggi.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.