Foto: TikTok
Fenomena baharu mula tular di media sosial apabila pengguna mencipta imej realistik berbentuk figura menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti Google Gemini Nano Banana.
Hasil imej tersebut kelihatan seperti model patung komersial sebenar yang dipamerkan di atas meja, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hukum penghasilannya dalam Islam.
Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam ceramah terbarunya menjelaskan bahawa hukum menghasilkan patung atau imej bergantung kepada bentuk serta tujuan ia dibuat.
“Kalau patung itu wujud di alam nyata dan ada bayang, maka kita kena lihat pula apa tujuannya. Membuat patung ada dua hukum, iaitu harus dan haram. Harus apabila digunakan untuk tujuan pembelajaran,” katanya.
Beliau memberi contoh penggunaan patung dalam pengajian di universiti dan kolej, selain patung keselamatan jalan raya yang dibina untuk mendidik masyarakat. Menurutnya, jenis tersebut adalah harus berdasarkan pandangan ulama.
Namun jelasnya, jika patung dimuliakan atau diagungkan, maka hukumnya adalah haram dengan ijmak ulama.
“Kalau hanya berada di alam maya, tidak menjelma di alam nyata, sekadar gambar untuk simpan dalam album atau dilihat secara suka-suka, maka tidak jatuh haram melainkan ia mempunyai rupa yang mengaibkan,” katanya.
Sumber: Kosmo
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.